BAKTI SISWA DI DESA

15 Mar 2018

 

Harian Metro | 15 Mar 2018

Seramai 50 penuntut City University (City U), Petaling Jaya menjayakan program Baktisiswa City U 2018 anjuran Kelab Amal City U di Tanjung Karang, Selangor, baru-baru.

Program selama tiga hari dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar 2017/2018, JKKKP Kampung Haji

Razali (KHR) dan Gerakan Mahasiswa Bahagian Tanjung Karang ini bertujuan menjalin hubungan silaturahim antara penuntut dan penduduk kampung sekali gus meningkatkan kemahiran serta pengetahuan penuntut di luar bilik kuliah.

Selain itu, kebanyakan kampung masih ada keluarga yang tidak berkemampuan dan penuntut City U rasa terpanggil untuk membantu mereka yang memerlukan.

Oleh itu, Kampung Haji Razali (KHR) di Tanjung Karang, Selangor dipilih untuk membantu komuniti yang memerlukan bantuan.

Pengarah program, Hizami Abd Holed, 23, berkata ahli Kelab Amal City U sudah melakukan persiapan empat bulan sebelum tarikh program bagi memastikan semua aktiviti berjalan lancar.

“Mengikut perancangan, hari pertama kami berkumpul di City U seawal jam 10 pagi sebelum menaiki bas menuju ke Kampung Haji Razali.

“Sebaik tiba, kami berkumpul di dewan komuniti KHR untuk menunaikan solat Jumaat dan meneruskan program dengan acara menyambut tetamu sekitar jam 3.45 petang.

“Kehadiran kami disambut meriah oleh penduduk kampung dan turut hadir Ketua Pemuda UMNO

Tanjung Karang Maruwan Ahmad.

“Kami juga dijamu dengan makanan tengah hari sebelum memulakan majlis amal menyampaikan derma kepada keluarga angkat peserta program ini.

“Program ini sedikit unik kerana kami dijadikan anak angkat oleh penduduk kampung yang kurang bernasib baik, di samping itu kami bukan saja memberi bantuan dari segi keperluan asas malahan dapat menjalin hubungan baik yang berterusan dengan mereka.

“Aktiviti hari pertama memang agak padat kerana pada sebelah petang kami ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Permatang, Kuala Selangor bagi sesi perkongsian ilmu.

“Bagi sesi ini, kami berkongsi mengenai seminar kerjaya dengan 200 pelajar yang bakal membantu mereka.

“Pada masa sama, seminar ini membantu meningkatkan motivasi diri dan keyakinan pelajar dalam menghadapi cabaran yang mendatang,” katanya.

Menurutnya, pada hari berikutnya aktiviti bertambah meriah kerana peserta berpeluang bergaul mesra dengan penduduk kampung.

“Seawal jam 8 pagi, kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan mengikut tugasan masingmasing.

“Kami memulakan program dengan aktiviti membersihkan kawasan sekitar dewan komuniti dan memasak makanan tengah hari bersama penduduk kampung.

“Peserta gembira kerana dapat merasai pengalaman baru dan kehidupan dalam suasana kampung.

“Selain itu, kami juga melaksanakan program menderma darah dan pemeriksaan kesihatan percuma kepada penduduk kampung.

“Ramai penduduk kampung yang datang menjalani pemeriksaan kesihatan dan menderma darah sementara menanti ketibaan tetamu kehormat iaitu wakil Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar, Datuk Shahrizal Sahri.

“Beliau menyerahkan sumbangan berjumlah RM3,000 daripada Tan Sri Noh untuk program ini,” katanya.

Katanya, program ini memberi banyak manfaat dan pengalaman luar biasa kepada peserta tempatan dan luar negara.

“Menariknya, kami dapat belajar budaya orang kampung kerana kebanyakan peserta berasal dari bandar.

“Malah program keluarga angkat juga memberi pengalaman menarik kepada kami kerana dapat merapatkan hubungan silaturahim dan menyemai hubungan kekeluargaan.

“Selain itu, bantuan yang diberikan kepada fakir miskin, warga emas dan penduduk kurang upaya membuka mata kami ada insan yang kurang bernasib baik. Diharap sumbangan ini dapat membantu meringankan beban mereka,” katanya.

Katanya, sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur peserta sempat mengadakan jamuan sebagai tanda terima kasih kepada penduduk kampung.

“Kami turut bergambar beramai-ramai sebagai tanda kenangan. Ramai peserta berasa sedih dan berat hati untuk meninggalkan keluarga angkat masingmasing.

“Layanan yang baik tidak mungkin dapat dilupakan. Saya berharap program ini dapat diteruskan pada masa akan datang dan hubungan antara peserta dan keluarga angkat diteruskan seperti keluarga sendiri,” katanya.


>> Back to News


Print